Seorang
lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di dalam al-Qur’an ialah
Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab Injil yang
diturunkan sebelum al-Qur’an.
Di dalam al-Qur’an, Nabi Isa disebut dengan empat panggilan iaitu Isa, Isa putera Mariam, putera Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang yang sangat dimuliakan Allah. Dia memilihnya di atas
semua perempuan di semua alam. Firman-Nya, “Dan ketika malaikat-malaikat
berkata, ‘Wahai Mariam, Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan
Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam’” (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian yang amat berat
daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa
disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu mukjizat kerana dilahirkan tanpa
bapa. Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur’an. Di sini, ceritanya
bermula dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah Allah.
Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan
malaikat membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
“Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!’
Dia (malaikat) berkata, ‘Aku hanyalah seorang rasul yang datang
daripada Pemelihara kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang
suci.’” (19:18-19)
Pada ayat yang lain, diceritakan bahawa malaikat yang datang itu
telah memberi nama kepada putera yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi
oleh Allah, dan dia (Isa) akan menjadi terhormat di dunia dan akhirat
sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
“Wahai Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan
satu Kata daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam,
terhormat di dunia dan di akhirat, daripada orang-orang yang
didekatkan.” (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
“Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang
manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?” (19:20)
Malaikat menjawab,
“Dia (Allah) berkata, ‘Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, ‘Itu
mudah bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi
manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah
ditentukan’” (19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun sebelum Nabi
Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat (tanda)
bagi manusia, iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti Adam, walaupun
Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada
ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan
mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang Rasul. Baginda dan beberapa
orang rasul telah dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada yang
Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa,
Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh
Suci. Firman-Nya:
“Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian
yang lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan
sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam
bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus
(Suci).” (2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
“Katakanlah, ‘Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan
kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan
Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa, dan
Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka.
Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya
kami muslim.’” (2:136)
Akibat membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari ini,
iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak
Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat
hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil, yang
mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil.
Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil,
baginda mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dua firman
Allah menjelaskannya di sini, berbunyi:
“Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam,
dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di
dalamnya petunjuk dan cahaya,” (5:46) dan,
“Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau
memerintahkan aku dengannya: ‘Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan
Pemelihara kamu.’” (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita mengenai
kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji
dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di jalan
Allah (9:111). Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan al-Qur’an.
Ketika baginda diutus, manusia sedang berselisih dalam hal agama.
Maka kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan apa yang
diperselisihkan. Firman Allah:
“dia (Isa) berkata, ‘Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan
supaya aku memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu
memperselisihkan; maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.’”
(43:63)
Baginda juga memberitahu tentang kedatangan seorang rasul selepas
baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat yang mengisahkannya berbunyi:
“Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu,
mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan
seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).”
(61:6)
Pengikut setia
Seperti Nabi atau Rasul yang lain, baginda mempunyai
pengikut-pengikut yang setia dan juga yang tidak setia atau yang
menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah dan
kepadanya. Mereka adalah muslim. Firman Allah:
“Dan ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, ‘Percayalah
kepada-Ku, dan rasul-Ku’; mereka berkata, ‘Kami percaya, dan saksilah
Engkau akan kemusliman kami.’” (5:111)
Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
“Berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia, ‘Kami akan menjadi
penolong-penolong Allah; kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu
akan kemusliman kami.’” (3:52)
Begitu juga bagi pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk
Muhammad. Semuanya menjadi penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan
menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong
Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut
yang setia, ‘Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku bagi
Allah?’ Pengikut-pengikut yang setia berkata, ‘Kami akan menjadi
penolong-penolong Allah.’” (61:14)
Walau bagaimana pun, pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan
bukti selanjut untuk megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka
menjadi tenteram. Untuk itu mereka memohon sebuah meja hidangan dari
langit. Kisahnya berbunyi begini:
“Dan apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, ‘Wahai Isa putera
Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja
hidangan dari langit?’
Dia (Isa) berkata, ‘Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.’
Mereka berkata, ‘Kami menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati
kami menjadi tenteram, supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar
kepada kami, dan supaya kami adalah antara para saksinya.’” (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon kepada Allah,
“Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja
hidangan dari langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang
pertama dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau.
Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik daripada
pemberi-pemberi rezeki.” (5:114)
Allah mengabulkan permintaannya. Lantas, meja hidangan yang turun
menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama
sebuah surah di dalam al-Qur’an, iaitu surah kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada kelahiran yang luar biasa dan meja hidangan, Nabi Isa
telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat lain. Ayat berikut
menjelaskannya:
“Ketika Allah berkata, ‘Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan
rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan
kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada manusia di dalam
buaian dan setelah dewasa ….. dan apabila kamu mencipta daripada tanah
liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan
ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu
menyembuhkan orang buta, dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu
mengeluarkan orang yang mati, dengan izin-Ku’ ….. lalu orang-orang yang
tidak percaya antara mereka berkata, ‘Tiadalah ini, melainkan sihir
yang nyata.’” (5:110)
Walaupun Nabi Muhammad hanya diberi satu mukjizat, manusia ditegah
daripada berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia daripada Nabi
Muhammad. Kerana, seperti yang sudah maklum, amalan membeza-beza para
Nabi dan Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak Mempercayai Mukjizat
Nabi?)
Wafat
Tidak seperti kepercayaan sesetengah orang iaitu Nabi Isa tidak wafat
semasa disalib tetapi diangkat naik ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa
telah wafat di bumi, namun bukan disalib. Baginda telah wafat selepas
peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang tidak
diceritakan di dalam al-Qur’an. Besar kemungkinan baginda telah
melarikan diri dari tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
“Apabila Allah berkata, ‘Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan
menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang
yang tidak percaya …..’” (3:55)
“Dan aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan
mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah
penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu.” (5:117)
Akan tetapi, sebahagian daripada kaum Bani Israil mengatakan bahawa
mereka telah membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang sebaliknya pula.
Apa yang berlaku hanya satu kesamaan sahaja. Firman-Nya:
“ucapan mereka, ‘Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam,
rasul Allah.’ Tetapi mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga
menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka.
Orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar dalam keraguan
terhadapnya; mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti
sangkaan; mereka tidak membunuhnya, yakinlah.” (4:157)
Telah wujud lagi kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan
Allah di dalam al-Qur’an, iaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat
kali kedua. Itu tidak benar. (Sila rujuk artikel Menanya Ustaz:
kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan Imam Mahadi di ruangan Soalan
Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah Isa wafat, beberapa perkara telah berlaku. Pertama,
orang-orang yang mengaku pengikut baginda telah menubuhkan sistem
berahib, atau berpaderi, atau sistem berulama dalam agama. Sistem itu
tidak dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
“Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka – Kami tidak menuliskan (menetapkan) untuk mereka” (57:27).
Kemudian, antara mereka bersetuju untuk mengangkat Nabi Isa sebagai
Tuhan atau anak Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang luar biasa dan
mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat demikian telah terpesong dalam
kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
“Merekalah orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata,
‘Sesungguhnya Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam’” (5:17), dan
“orang-orang Kristian berkata, ‘Al-Masih ialah putera Allah.’ Itu
adalah ucapan daripada mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang
tidak percaya sebelum mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah
mereka dipalingkan?” (9:30)
Satu bukti telah didatangkan Allah untuk menunjukkan kepalsuan
kepercayaan mereka. Buktinya adalah pada amalan memakan makanan,
berbunyi:
“Al-Masih, putera Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum
dia telah berlalu. Ibunya seorang wanita yang benar; mereka berdua
makan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami memperjelaskan ayat-ayat
kepada mereka, kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling.”
(5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau
Dia makan tentu Dia mempunyai sebuah “pintu kecil” untuk mengeluarkan
makanan yang tidak diperlukan lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut
seperti yang terdapat di bahagian belakang badan manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu disampaikan kepada orang-orang yang mempercayai
Nabi Isa itu Tuhan atau anak-Nya, tentu mereka akan berpaling juga dan
tetap dengan kepercayaan mereka. Begitulah manusia dengan kepercayaan
agamanya. Mereka lupa menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu sungguh berat di sisi Allah sehingga Nabi Isa
akan ditanya di akhirat. Baginda akan ditanya sama ada baginda telah
menyatakan bahawa baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan selain daripada
Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
“Wahai Isa putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia,
‘Ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah’?”
(5:116)
Nabi Isa akan menjawab:
“Kepada Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang
aku tiada hak dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya,
dengan mengetahui apa yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa
yang di dalam jiwa Engkau; sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang
ghaib.” (5:116)
Jawapannya bersambung lagi:
“Aku hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku
dengannya: ‘Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.’ Dan
aku seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi
setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas
mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu.” (5:117)
Nabi Muhammad juga akan ditanya di akhirat atas sesuatu yang amat
berat juga. Baginda ditanya mengenai sambutan kaumnya terhadap
al-Qur’an. Jawapan baginda berbunyi:
“Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur’an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan.” (25:30)
Itulah yang berlaku pada hari ini. Ajaran al-Qur’an tidak
dipedulikan. Namun, masa masih ada untuk semua kembali kepada ajaran
al-Qur’an.
Comments
Post a Comment